KUALA LUMPUR: Inflasi kos perubatan tinggi dan trend penggunaan perkhidmatan kesihatan yang semakin meningkat merupakan antara faktor utama yang mendorong peningkatan kadar premium atau sumbangan insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT).

Timbalan Menteri Kewangan Lin Hui Ying berkata isu inflasi kos perubatan memerlukan tindakan bersepadu oleh semua pihak untuk memastikan akses kesihatan dan produk MHIT kekal mampan dan mampu milik dalam jangka masa panjang.

"Kerjasama dengan Kementerian Kesihatan juga sedang dipergiat untuk melaksanakan inisiatif yang terkandung dalam Kertas Putih Kesihatan berkaitan pemerkasaan sistem kesihatan negara," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) yang ingin tahu tentang usaha Kementerian Kewangan melalui Bank Negara untuk mengawal selia penetapan premium insurans kesihatan oleh syarikat insurans susulan terdapat banyak rungutan daripada pelanggan tentang peningkatan keterlaluan premium insurans kesihatan yang dikenakan pada masa ini.

Lin berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menerbitkan panduan terkini perniagaan MHIT bertujuan untuk mendorong penggunaan perkhidmatan kesihatan yang lebih bertanggungjawab menerusi reka bentuk produk yang lebih inovatif termasuk memperkenalkan ciri-ciri perkongsian kos yang lebih bermakna.

Selain itu, panduan tersebut juga akan dapat menyokong pengawalan kos yang lebih berkesan dan telus melalui penubuhan pangkalan data tuntutan bersepadu serta meningkatkan standard amalan perniagaan penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO).

Beliau berkata ITO perlu menyediakan komunikasi yang jelas dan menawarkan pilihan kepada pengguna yang terbeban untuk mengubah atau menukar pelan MHIT mereka kepada pelan yang lebih mampu milik atau menstruktur semula bayaran premium atau sumbangan secara beransur-ansur.

"Bagi pengguna yang menghadapi kesulitan meneruskan pembayaran premium atau sumbangan, mereka digalakkan untuk menghubungi ITO masing-masing.

"Sekiranya mereka tidak menerima perkhidmatan yang memuaskan daripada ITO, aduan juga boleh disalurkan kepada Bank Negara Malaysia melalui saluran eLINK di bnm.gov.my/LINK," katanya.

-- BERNAMA